NOTA: Petikan dari buku tajuk yang sama, oleh Hamizul Abdul Hamid. Di terbitkan oleh : Karya Bestari Sdn Bhd @ Grup Buku Karabgkraf Sdn Bhd. lot 2, Jalan Sepana 15/3, Off Persiaran Selangor, Seksyen 15, 40200 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-51013888. Cetakan 1 - 2011.
" Jadikanlah hati sentiasa berebut - rebut mahu bersedekah, berzakat dan berinfak. Cetuskan rasa cemburu andai terlihat orang lain banyak beribadat dan di tangan sering tersedia menyampaikan hajat. Bisikkan pada minda bahawa kita patut lebih banyak menghulur sebagai refleksi tanda bersyukur. Gandakanlah nilai kewangan dengan keberkatan kerana natijahnya ada jaminan besar di sisi TUHAN "
Ketika diri diulit kesenangan, usah lupa masih ramai yang digayuti keperitan. Sememangnya itulah rencah kehidupan. Maka di sisi ALLAH SWT sebagai al-khalik, telah disediakan satu mekanisme mencari keseimbangan agai si kaya tidak lupa daratan dan si miskin tidak mati kelaparan.
Pada zahirnya, zakat bagai mengurangkan harta tapi yakinlah DIA akan melimpahkan keberkatan-Nya. Ingatlah... apa jua yang kita ada bukanlah milik abadi. Pasakkanlah ke dalam dada bahawa harta itu hendaklah diladeni ke jalan yang diredhai kerana itulah tanggungjawab hakiki di sisi rabbul Izzati.
Sesungguhnya, harta yang dipinjamkan itu jika ditadbir dengan baik akan memberikan ketenangan jiwa yang tidak dapat dibeli walau ditawau dengan wang berjuta. Untuk itu... tanyakanlah pada diri... sudah terbukakah jendela hati kita untuk menunaikan setiap tuntutan-Nya agar hidup ini lebih dirahmati?